Thursday, 29 November 2012

Muqaddimah Zina


Muqaddimah Zina

Allah swt berfirman:

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلا

Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.

Inspirasi dari Surah Al-Isra Ayat 32


Ayat di atas ini, menunjukkan Allah swt melarang kita supaya tidak mendekati perkara yang akan mendorong kepada perbuatan zina (muqaddimah Zina).

Definisi zina: Zina
Ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf.

Dalam Konteks hari ini, pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya dapat dilihat dimerata-rata tempat. Yang paling menyedihkan lagi mereka yang dimaksudkan kebanyakannya adalah dikalangan orang Islam.

Diatara muqaddimah zina yang digariskan oleh Islam meliputi perkara berikut:
1.       Pandangan
2.       Pertemuan
3.       Percakapan
4.       Berjabat Tangan
5.       Bersentuh badan


Pandangan

Pandangan yang dimaksudkan adalah bukan pandangan yang biasa, tetapi pandangan yang bertujuan untuk menimbulkan nafsu dari lelaki dan perempuan.



Bagi Kaum lelaki, Allah swt telah memberikan peringatan di dalam surah An-Nur, ayat 30, yang bermaksud:

“ Katakanlah olehmu wahai Muhammad kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan sesetengah dari pandangan mereka…”

Bagi kaum perempuan Allah swt telah member peringatanNya di dalam surah An-Nur, Ayat 31:

“ Katakanlah olehmu wahai Muhammad kepada orang-orang perempuan yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”

Dan ayat-ayat di atas ini, dapat ditafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja. Pandangan pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan keinginan hawa nafsu sesama sendiri.

Sekiranya kita melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah itu, hawa nafsu akan menguasai dan syaitan akan menggoda dengan mudah yang akhirnya mendorong ke kancah maksiat.

Seorang pujangga dan falsafah Islam, Ahmad Syauqi pernah berkata:

“ ….melihat atau memandang lalu tersenyum, menghormati atau mengucapkan selamat, bercakap, berjanji dan akhirnya bertemu dan seterusnya berlakulah maksiat..”


Pertemuan

Pertemuan yang dimaksudkan adalah pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan isteri atau mahramnya di tempat sunyi atau di dalam sebuah rumah atau bilik atau di tempat yang terasing dalam hal keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat. Dalam konteks hari ini, ia lebih dikenali dengan istilah “khalwat”, menurut adatnya apabila dua orang yang bukan mahram bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan perbuatan maksiat.



Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai oleh mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan” 

(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Dari hadis ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahwa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan ramai. Pertemuan yang seumpama itu akan menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Ini boleh mengundang maksiat yang dikutuk Allah.



Percakapan

Percakapan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap yang boleh mendatangkan syak wasangka.


Dalam soal ini bukanlah bermakna antara lelaki dan perempuan tidak dibenarkan untuk bergaul dan bercakap-cakap. Islam sama sekali tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah percakapan yang mempunyai tujuan-tujuan tertentu atau urusan yang penting sahaja. Larangan ini dibuat semata-mata untuk menghindarkan pandangan seorang atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.

“Rasulullah saw melarang orang-orang perempuan diajak bercakap-cakap kecuali dengan izin suami mereka atau mahramnya”

Oleh itu, kita sebagai seorang muslim yang bermaurah adalah sangat perlu menjaga diri ketika bercakap-cakap kecuali ada orang lain. Isi percakapan pula adalah mempunyai tujun yang baik dan urusan yang penting.


Berjabat Tangan

Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka berdua. Perlakuan ini meliputi lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan atau sebaliknya. Ia juga berlaku sama ada orang muda atau orang tua.
Menurut Islam, hukum berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Dalam hal ini, Siti Aishah ra ada berkata:

“ Demi Allah, tidak pernah Rasulullah saw menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan”. 

(Direkodkan Oleh Imam Ahmad)



Bersentuhan Badan

Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya. Sentuhan di sini lebih bermaksud kepada sentuhan yang dilakukan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu.


Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya” 

(Riwayat oleh Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi)

Hadis di atas ini dapatlah dijelaskan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah dilarang keras oleh Allah swt lebih dikutuk lagi apabila sentuhan itu dengan tujuan untuk menuju kearah maksiat.

Oleh yang demikian 5 perkara ini bolehlah dijadikan sebagai garis panduan kepada kita supaya kita tidak terjebak kepada jenayah Zina, tujuan saya memetik 5 perkara ini adalah bertujuan menjaga terjadinya percampuran bebas dan pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan, terutamanya yang bukan mahram.

Penegasan ini bukan bermaksud untuk di tujukan kepada mana-mana pihak, tetapi lebih bertujuan untuk memelihara kehormatan serta kesucian diri kita, khususnya kaum perempuan.
Sepertimana yang telah dinyatakan oleh pujangga Islam :

“ Pergaulan bebas dan terbuka biasanya akan membawa kepada perhubungan yang mendorong untuk melakukan maksiat” 

Bila ini berlaku, harga diri seseorangitu, terutamanya kaum perempuan adalah sama seperti haiwan yang bebas melakukan hubungan seks di mana-mana sahaja. Oleh itu jagalah diri kita supaya kita tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu yang akan menghancurkan masa hadapan kita. Ingat kita mampu untuk mengubahnya.

sekian


 
Copyright © 2010 Pena Emas. All rights reserved.