Thursday 9 August 2012

Aku Ingin Kembali kepadaMU Ya Allah


   أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْه

Bersempena Ramadhan bulan yang mulia ini, aku rasakan aku menghadapi bulan ini dalam keadaan gagal dan hampa, makin menemui penghujung ramadhan, aku makin jauh denganMu Ya Allah, makin banyak Dosa dan Maksiat yang aku lakukan, apabila melihat prestasi di bulan Ramadhan tahun ini, aku rebah, bagaikan sudah kering usaha untuk memperbaiki diri ini. 

Aku pernah bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala maksiat yang telah aku lakukan, tetapi sering kali gagal, memang aku akui aku hambaMu yang lemah, aku perlukan bimbinganMu. Apa yang harus aku lakukan lagi Ya Allah dengan prestasi Iman yang turun naik dan terumbang-ambing ini, sehingga kadang-kadang jatuh terlalu teruk. Seperti mana gandaan pahala di bulan mulia ini, begitu jugalah gandaan dosa bagi sesiapa yang melakukan dosa dibulan yang suci ini sebagai kutukan kepada perlakunya yang melakukan kemungkaran dibulan yang penuh barakah ini. 

Ya Allah Ampunilah segala dosa-dosaku, tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosaku yang banyak ini melainkanMu Ya Allah. Tiada apa yang lebih berharga melainkan keampunan dariMu dan penetapan KeImanan yang kukuh buatku. Aku ingin mendapatkan apa yang telah kau janjikan kepada hamba-hamba yang berdosa yang meminta ampun dari Mu didalam surah Ali imran ayat 135-136 

“Dan orang-orang yang apabila mereka berbuat kejahatan atau menzalimi dirinya, mereka ingat akan Allah, lalu meminta keampunan atas dosanya itu. Dan tiada yang mengampuni dosa kecuali Allah. Mereka tidak kekal atas perbuatannya, sedang mereka mengetahui (135) Balasan mereka itu ialah keampunan dari tuhannya dan syurga yang mengalir air sungai dibawahnya, sedang mereka kekal didalamnya. Itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal(136)”

Tapi terkadang aku takut sekiranya aku kembali terjebak kembali dengan dosa silamku, tetapi aku yakin dan percaya bahawa Kau Tuhan yang Maha pengampun dan Aku Yakin aku ada tuhan yang boleh mengampunkan dosa seperti Nabi saw bersabda: 

"Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sedangkan nabi yang dijanjikan maksum dari segala dosa pun bertaubat dngan beristighfar sbnyak 100 kali sehari, hadith

"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"

(Hadis Riwayat Muslim)

Inikan pula aku yang terlalu bnyak dosa ini, berapa kadar istighfar aku sehari yang perlu aku ungkapkan tanda penyesalan terhadap dosa-dosaKu??, Adakah Sejuta Sehari mencukupi??

Ya Allah kadang-kadang aku buntu, hilang arah tujuku, hari demi hari aku mencari sinar baru yang pernah aku perolehi satu ketika dulu. Namun aku tidak akan berputus asa untuk terus mencari rahmat dan redhaMu serta keampunanMu Ya Allah kerna ada hadith qudsi yang diriwayatkan:  Allah berfirman:

"Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan."
 

(Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). 

Oleh itu aku tidak perlulah berputus asa dari rahmat Allah Bahkan aku dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmatNya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53 : 
Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya  Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani


Mudah-mudahan langkah yang baru ini memberi 1001 erti bagi diriku untuk terus memacu kehidupanku lebih maju kehadapan bagi menghadapi liku kehidupan yang penuh mencabar ini sehingga ku ketemui kesudahan yang baik.

اَللّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِاْلاِسْلاَمِ وَاخْتِمْ لَنَا بِاْلاِيْمَانِ وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: "Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan islam, akhirilah hidup kami dengan membawa iman, akhirilah hidup kami dengan husnul khotimah"


Ini selari dengan kata-kata Imam Abu Hasan As-Syari “kebahagiaan diukur pada pengakhiran hidup kamu, sekiranya kamu mati dalam keadaan kamu beriman maka bahagialah kamu, tetapi kalau sebaliknya  maka celakahlah kamu”

Wallahu a’lam


 
Copyright © 2010 Pena Emas. All rights reserved.