Thursday 29 November 2012

Muqaddimah Zina


Muqaddimah Zina

Allah swt berfirman:

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلا

Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.

Inspirasi dari Surah Al-Isra Ayat 32


Ayat di atas ini, menunjukkan Allah swt melarang kita supaya tidak mendekati perkara yang akan mendorong kepada perbuatan zina (muqaddimah Zina).

Definisi zina: Zina
Ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf.

Dalam Konteks hari ini, pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya dapat dilihat dimerata-rata tempat. Yang paling menyedihkan lagi mereka yang dimaksudkan kebanyakannya adalah dikalangan orang Islam.

Diatara muqaddimah zina yang digariskan oleh Islam meliputi perkara berikut:
1.       Pandangan
2.       Pertemuan
3.       Percakapan
4.       Berjabat Tangan
5.       Bersentuh badan


Pandangan

Pandangan yang dimaksudkan adalah bukan pandangan yang biasa, tetapi pandangan yang bertujuan untuk menimbulkan nafsu dari lelaki dan perempuan.



Bagi Kaum lelaki, Allah swt telah memberikan peringatan di dalam surah An-Nur, ayat 30, yang bermaksud:

“ Katakanlah olehmu wahai Muhammad kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan sesetengah dari pandangan mereka…”

Bagi kaum perempuan Allah swt telah member peringatanNya di dalam surah An-Nur, Ayat 31:

“ Katakanlah olehmu wahai Muhammad kepada orang-orang perempuan yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”

Dan ayat-ayat di atas ini, dapat ditafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja. Pandangan pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan keinginan hawa nafsu sesama sendiri.

Sekiranya kita melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah itu, hawa nafsu akan menguasai dan syaitan akan menggoda dengan mudah yang akhirnya mendorong ke kancah maksiat.

Seorang pujangga dan falsafah Islam, Ahmad Syauqi pernah berkata:

“ ….melihat atau memandang lalu tersenyum, menghormati atau mengucapkan selamat, bercakap, berjanji dan akhirnya bertemu dan seterusnya berlakulah maksiat..”


Pertemuan

Pertemuan yang dimaksudkan adalah pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan isteri atau mahramnya di tempat sunyi atau di dalam sebuah rumah atau bilik atau di tempat yang terasing dalam hal keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat. Dalam konteks hari ini, ia lebih dikenali dengan istilah “khalwat”, menurut adatnya apabila dua orang yang bukan mahram bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan perbuatan maksiat.



Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai oleh mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan” 

(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Dari hadis ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahwa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan ramai. Pertemuan yang seumpama itu akan menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Ini boleh mengundang maksiat yang dikutuk Allah.



Percakapan

Percakapan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap yang boleh mendatangkan syak wasangka.


Dalam soal ini bukanlah bermakna antara lelaki dan perempuan tidak dibenarkan untuk bergaul dan bercakap-cakap. Islam sama sekali tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah percakapan yang mempunyai tujuan-tujuan tertentu atau urusan yang penting sahaja. Larangan ini dibuat semata-mata untuk menghindarkan pandangan seorang atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.

“Rasulullah saw melarang orang-orang perempuan diajak bercakap-cakap kecuali dengan izin suami mereka atau mahramnya”

Oleh itu, kita sebagai seorang muslim yang bermaurah adalah sangat perlu menjaga diri ketika bercakap-cakap kecuali ada orang lain. Isi percakapan pula adalah mempunyai tujun yang baik dan urusan yang penting.


Berjabat Tangan

Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka berdua. Perlakuan ini meliputi lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan atau sebaliknya. Ia juga berlaku sama ada orang muda atau orang tua.
Menurut Islam, hukum berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Dalam hal ini, Siti Aishah ra ada berkata:

“ Demi Allah, tidak pernah Rasulullah saw menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan”. 

(Direkodkan Oleh Imam Ahmad)



Bersentuhan Badan

Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya. Sentuhan di sini lebih bermaksud kepada sentuhan yang dilakukan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu.


Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya” 

(Riwayat oleh Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi)

Hadis di atas ini dapatlah dijelaskan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah dilarang keras oleh Allah swt lebih dikutuk lagi apabila sentuhan itu dengan tujuan untuk menuju kearah maksiat.

Oleh yang demikian 5 perkara ini bolehlah dijadikan sebagai garis panduan kepada kita supaya kita tidak terjebak kepada jenayah Zina, tujuan saya memetik 5 perkara ini adalah bertujuan menjaga terjadinya percampuran bebas dan pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan, terutamanya yang bukan mahram.

Penegasan ini bukan bermaksud untuk di tujukan kepada mana-mana pihak, tetapi lebih bertujuan untuk memelihara kehormatan serta kesucian diri kita, khususnya kaum perempuan.
Sepertimana yang telah dinyatakan oleh pujangga Islam :

“ Pergaulan bebas dan terbuka biasanya akan membawa kepada perhubungan yang mendorong untuk melakukan maksiat” 

Bila ini berlaku, harga diri seseorangitu, terutamanya kaum perempuan adalah sama seperti haiwan yang bebas melakukan hubungan seks di mana-mana sahaja. Oleh itu jagalah diri kita supaya kita tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu yang akan menghancurkan masa hadapan kita. Ingat kita mampu untuk mengubahnya.

sekian


Thursday 9 August 2012

Aku Ingin Kembali kepadaMU Ya Allah


   أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْه

Bersempena Ramadhan bulan yang mulia ini, aku rasakan aku menghadapi bulan ini dalam keadaan gagal dan hampa, makin menemui penghujung ramadhan, aku makin jauh denganMu Ya Allah, makin banyak Dosa dan Maksiat yang aku lakukan, apabila melihat prestasi di bulan Ramadhan tahun ini, aku rebah, bagaikan sudah kering usaha untuk memperbaiki diri ini. 

Aku pernah bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala maksiat yang telah aku lakukan, tetapi sering kali gagal, memang aku akui aku hambaMu yang lemah, aku perlukan bimbinganMu. Apa yang harus aku lakukan lagi Ya Allah dengan prestasi Iman yang turun naik dan terumbang-ambing ini, sehingga kadang-kadang jatuh terlalu teruk. Seperti mana gandaan pahala di bulan mulia ini, begitu jugalah gandaan dosa bagi sesiapa yang melakukan dosa dibulan yang suci ini sebagai kutukan kepada perlakunya yang melakukan kemungkaran dibulan yang penuh barakah ini. 

Ya Allah Ampunilah segala dosa-dosaku, tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosaku yang banyak ini melainkanMu Ya Allah. Tiada apa yang lebih berharga melainkan keampunan dariMu dan penetapan KeImanan yang kukuh buatku. Aku ingin mendapatkan apa yang telah kau janjikan kepada hamba-hamba yang berdosa yang meminta ampun dari Mu didalam surah Ali imran ayat 135-136 

“Dan orang-orang yang apabila mereka berbuat kejahatan atau menzalimi dirinya, mereka ingat akan Allah, lalu meminta keampunan atas dosanya itu. Dan tiada yang mengampuni dosa kecuali Allah. Mereka tidak kekal atas perbuatannya, sedang mereka mengetahui (135) Balasan mereka itu ialah keampunan dari tuhannya dan syurga yang mengalir air sungai dibawahnya, sedang mereka kekal didalamnya. Itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal(136)”

Tapi terkadang aku takut sekiranya aku kembali terjebak kembali dengan dosa silamku, tetapi aku yakin dan percaya bahawa Kau Tuhan yang Maha pengampun dan Aku Yakin aku ada tuhan yang boleh mengampunkan dosa seperti Nabi saw bersabda: 

"Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sedangkan nabi yang dijanjikan maksum dari segala dosa pun bertaubat dngan beristighfar sbnyak 100 kali sehari, hadith

"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"

(Hadis Riwayat Muslim)

Inikan pula aku yang terlalu bnyak dosa ini, berapa kadar istighfar aku sehari yang perlu aku ungkapkan tanda penyesalan terhadap dosa-dosaKu??, Adakah Sejuta Sehari mencukupi??

Ya Allah kadang-kadang aku buntu, hilang arah tujuku, hari demi hari aku mencari sinar baru yang pernah aku perolehi satu ketika dulu. Namun aku tidak akan berputus asa untuk terus mencari rahmat dan redhaMu serta keampunanMu Ya Allah kerna ada hadith qudsi yang diriwayatkan:  Allah berfirman:

"Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan."
 

(Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). 

Oleh itu aku tidak perlulah berputus asa dari rahmat Allah Bahkan aku dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmatNya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53 : 
Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya  Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani


Mudah-mudahan langkah yang baru ini memberi 1001 erti bagi diriku untuk terus memacu kehidupanku lebih maju kehadapan bagi menghadapi liku kehidupan yang penuh mencabar ini sehingga ku ketemui kesudahan yang baik.

اَللّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِاْلاِسْلاَمِ وَاخْتِمْ لَنَا بِاْلاِيْمَانِ وَاخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: "Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan islam, akhirilah hidup kami dengan membawa iman, akhirilah hidup kami dengan husnul khotimah"


Ini selari dengan kata-kata Imam Abu Hasan As-Syari “kebahagiaan diukur pada pengakhiran hidup kamu, sekiranya kamu mati dalam keadaan kamu beriman maka bahagialah kamu, tetapi kalau sebaliknya  maka celakahlah kamu”

Wallahu a’lam


Monday 23 July 2012

Taklid Adalah Penutup Akal Fikiran


بسم الله الرحمن الرحيم


Taklid Adalah Penutup Akal Fikiran



    Taklid itu adalah suatu penghalang besar untuk kemerdekaan akal. Itulah pengekang utama terhadap kebebasan berfikir dan oleh sebab itulah Allah swt sangat memuji kepada orang-orang yang dapat menjernihkan kefahaman yang sesuai tentang hakikatNya, disisihkannya dari perkara-perkara yang batil itu setelah dibahas, diperiksa, diteliti dan disaring oleh akal fikirannya. Selanjutnya lalu diambil mana-mana yang dianggapnya terbaik dan ditinggalkan yang lainnya.



Allah swt berfirman :

فبشر عبادى الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه أولئك الذين هداهم الله وأولئك هم أولوا الباب


Maksudnya: maka berikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengarkan ucapan lalu mengikuti mana-mana yang terbaik dari ucapan itu(1). Mereka itulah orang-orang memperoleh petunjuk Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal fikiran.

(Surah Az-Zumar ayat 17-18)


    Allah swt benar-benar mencela dan mengejek serta menyalahkan kepada orang-orang yang suka mengekor, mengikut yakni ahli taklid yang tidak suka menggunakan akal fikirannya sendiri. Yang mereka ikuti hanyalah akal orang-orang lain. Mereka betul-betul beku, jumud,  sebab hanya mengikuti alam fikiran kuno yang sudah terbiasa dan berlangsung sejak dulu disekitarnya, sekalipun yang baru itu sebenarnya lebih tepat, lebih cocok, lebih sesuai dan lebih dapat dipertanggungjawabkan kerana sejalan dengan petunjuk dari Tuhan.


Allah swt berfirman :

وإذا قيل لهم اتبعوا مآ أنزل الله قالوا بل نتبع مآ الفينا عليه آباءنا أولو كان آباؤنا هم لا يعقلون شيئا ولا يهتدون


Dan apabila dikatakan kepada mereka: ikutilah apa yang diturunkan Allah! Mereka lalu berkata: Tidak, kita hanya mengikuti apa yang telah kita dapati dari ayah-ayah kita. Padahal ayah-ayah mereka itu tidak mengerti sediktipun dan tidak pula mengikuti petunjuk yang benar.

(Surah Al-Baqarah ayat 17)


    Contohnya orang yang menganut agama Kristian, Budha dan Hindu di Malaysia khususnya dan agama-agama lain umumnya diseluruh dunia, adakah mereka betul-betul mengenali hakikat tuhan mereka???, dan adakah mereka sudah pasti bahawasanya mereka ada pada jalan agama yang benar..??? oleh yang demikian Islam sangat-sangat menggalakkan manusia berfikir dengan menggunakan akal yang waras bagi mengenalpasti hakikat kehidupan manusia yang bertuhan. Berkenaan dengan hal ini, ramai sainstis-sainstis barat yang telah memeluk agama Islam setelah mereka mengkaji hakikat kehidupan didunia ini selari dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran.


Antara saintis-saintis yang memeluk Islam adalah:

1. Keith L Moore
2.  E. Marshall Johnson
3. T.V.N. Persaud
4. Joe Leigh Simpson
5. Gerald C. Goeringer
6. Alfred Kroner
7. Yushidi Kusan
8. Professor Armstrong
9. William Hay
10. Durja Rao
11. Professor Siaveda

12. Tejatat Tejasen

http://shehdikimia.blogspot.com/2011/04/saintis-masuk-islam.html



    Tetapi ini tidak bermaksud Islam memaksa Agama Lain untuk memeluk Islam, Cuma apa yang perlu adalah galakan berfikir dengan menggunakan akal yang telah dikurniakan kepada manusia untuk mencari kebenaran, kerana kebenaran itu pasti berpihak kepada Islam.

Allah berfirman :


قل يا أيها الكفرون(1) لا أعبد ما تعبدون(2) ولا أنتم عابدون ما أعبد(3) ولا أنا عابدعبدتم (4) ولا أنتم عابدون ما أعبد (5) لكم دينكم و لى دين (6)


Maksudnya:       


  Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,(2) Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah, (3) Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, (4) dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah, (5) Bagimu agamamu, dan bagiku agamaku.(6)

(Surah al-Kafirun ayat 1-6)


   Begitu juga apa yang berlaku terhadap beberapa fahaman seperti fahaman Syiah, Khawarij dan sebagainya, yang mana Syiah dan Kawarij asalnya muncul daripada krisis politik yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Ali ra, dan akhirnya daripada fahaman politik ini bertukar menjadi fahaman aqidah, walaupun Syiah zaidiyah hampir dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi didalam azannya tetap menambah pujian bagi Saidina Ali ra. Dan ada golongan Syiah yang GHULU (melampau) mengatakan Jibril as tersilap menghantar wahyu, sepatutnya wahyu diberikan kepada Saidina Ali, tetapi wahyu itu TERberi kepada Nabi Muhammad saw. Ini adalah sangkaan yang tidak bersas dan tidak masuk akal. Jadi,tegasnya bagi mereka yang mengikut fahaman yang salah ini secara membabi buta, maka perlulah diteliti dan dikaji sehingga keakar umbi supaya jelas adakah benar atau tidak sesuatu fahaman dan aqidah tersebut.


    (1)        maka berikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengarkan ucapan lalu mengikuti mana-mana yang terbaik dari ucapan itu.Ayat ini menyuruh kita supaya menimbang diantara beberapa perkataan. Maka mana yang terbaik diikuti dan yang buruk dijauhi. Umpamanya jika ada diantara ulama-ulama berselisih faham tentang tafsir ayat-ayat Al-Quran atau dalam hokum halal dan haram, maka hendaklah kita lihat, mana yang lebih kuat alasannya (dalil dan keterangannya), maka itulah yang kita ikut dan amalkan dan yang kurang kuat kita tinggalkan. Alasan yang diterima dalam agama ialah Al-Quran dan hadith Nabi saw, dan apa yang berdasarkan kepada salah satu dari keduanya (ijmak dan qias). Meskipun ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi saw itu jelas maknanya, tetapi ada juga ulama-ulama yang berlainan pendapat tentang memahamkannya. Maka waktu itu turutlah mana yang lebih kuat keterangan dalilnya. Selain daripada itu ayat yang tersebut menyuruh kita supaya maju kehadapan, jangan tinggal tetap pada pendapat yang lama, jika pendapat baru lebih baik daripadanya. Maka fikiran yang baik hendaklah kita ikuti, meskipun akan membuang yang lama, kerana telah nyata kurang baiknya. Sebab itu buanglah adat istiadat yang kurang baik dan tukarlah dengan adat istiadat yang lebih baik. Orang-orang yang menurut yang sebenarnya mendapat petunjuk daripada Allah swt.


Wallahu A’lam

Sumber:

   1.       Al-Quran dan Terjemah dan Tafsir Mukhtasar
   2.       Kitab Kuliah Aqidah dan Falsafah Tahun 3 (Firoq Islamiyah)
   3.       Kitab Aqidah Islam oleh Sayid Sabiq terbitan c.v.DIPONEGORO-Bandung
   4.    http://shehdikimia.blogspot.com/2011/04/saintis-masuk-islam.html
 
Copyright © 2010 Pena Emas. All rights reserved.